Assalamu'alaikum warohmatullohiwabrokatuh
Mengsoal tentang Haid pada wanita ini ada seorang wanita yang bertanya pada seorang ustadz berikut petikannya :
Soalan;
Ustadz, Saya ada kemusykilan tentang haid wanita. Apa yang saya tahu
perempuan dalam haid dilarang melakukan puasa dan sembahyang, mengaji
Alquran. tetapi tiada larangan untuk berzikir dan berdoa. Soalan saya,
boleh tak ustadz tolong berikan hujah iaitu dalil al-Quran/Hadis tentang
haid yang menjelaskan perkara diatas. Sekian terima kasih.
Jawapan;
1. Telah ijmak (sepakat) para ulamak
bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan
juga puasa (termasuk puasa Ramadhan). Puasa Ramadhan wajib diqadha,
adapun solat tidak perlu diqadha. Dalil larangan solat dan puasa
tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan;
Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang
wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab;
“Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda
bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh
mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas
berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (HR Imam al-Bukhari dari Abu
Sa’id al-Khudri r.a.).
2. Adapun hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulama seperti berikut;
A) Menurut Jumhur ulama (yakni
pandangan teramai ulama termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke
atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya
sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang
menceritakan Rasulullah bersabda;”Janganlah wanita dalam haid dan orang
yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran” (HR Imam at-Tirmizi dan
Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulamak memutuskan;
orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran
dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah),
diharuskan.
B) Imam Malik berpandangan; Diharuskan
wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang
dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak
dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub
dilarang sama sekali membaca al-Quran.
C) Terdapat ulama-ulama yang
menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud
az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi.
Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang
kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf,
pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu
al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang
menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah
pada setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran
termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil
oleh jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian
ulama-ulama hadis.
3. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas
(dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang
kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai
harus (tidak dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan “Sesuatu itu
kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau
mengecualikannya dari hukum asal”.
Dari keterangan di atas, kita dapat
melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah
luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak
dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur
tadi). Berikut kita senaraikan dengan terperinci ibadah-ibadah yang
boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas;
1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran
2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran
3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.
4. Berselawat kepada Nabi
5. Mendengar bacaan al-Quran
6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid)
7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik tadi)
8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis
9. Bersedekah
10. Membuat kebajikan kepada orang lain
Bagi doa, istighfar dan zikir yang
diambil dari al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa,
berzikir dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil bin Yusuf al-Azzazi, jil. 1. Hlm. 144-145.
2. Laman Fiqh Anda (http://fiqh-am.blogspot.com/).
3. Haid Membawa Berkah, Lissa Malike dan Asmawati, hlm. 74.
2. Laman Fiqh Anda (http://fiqh-am.blogspot.com/).
3. Haid Membawa Berkah, Lissa Malike dan Asmawati, hlm. 74.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
di Poskan ulang Oleh Asep saefulloh
Semoga ada manfaat dan kebaikan bagi Semuannya
Terima kasih atas kunjungannya
Wassalamu'alaikum warohmatullohiwabrokatuh
Tidak ada komentar:
Posting Komentar